Sekilas Sekinchan
"Sekinchan is a little town in the middle of the main rice-bowl area of Selangor, in the Sabak Bernam district."
Sekinchan - pertama kali saya menjejakkan kaki di sini ialah sekitar penghujung Disember 2007. Saya ke sana untuk tugasan projek dengan sebuah syarikat penyelidikan yang beribupejabat di PJ. Pengalaman di sana memang menarik buat saya. Saya akan bekerja di luar daerah yang asing dan bekerja berkumpulan dengan mereka yang baru dikenali. "Hi! Hello!" pemula bicara, esoknya terus bertugas bersama. Sehari sebelum perjalanan dimulakan, kami berkumpul dan diberi taklimat produk serta semua yang berkaitan dengan tugasan kami. Kami akan ke sana berkumpulan, seramai 4 orang. Projek ini akan dijalankan di pekan Sekinchan selama 3 hari berturut-turut dan perlu berulang-alik dari PJ ke Sekinchan (saya pula ditambah; KL-PJ).
Saya bertolak dari rumah di Kuala Lumpur dan terus ke PJ, seawal 7.00 pagi. Pada hari pertama, kami menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh seorang penyelia dari cawangan Kuantan. Memandangkan beliau dari Kuantan dan saya pula telah mendapatkan maklumat perjalanan ke sana, saya dilantik dengan tidak rasmi sebagai team co-pilot. Perjalanan dirasakan cukup panjang.
Akhirnya kami tiba di destinasi dituju. Pekan Sekinchan yang kecil dan cukup tenang. Kami dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap kumpulan ditempatkan di sebuah kedai runcit. 95 % peniaga kedai di pekan ini berketurunan Cina. Tauke kedai yang menerima kehadiran kami juga berbangsa Cina.
Apa yang menarik tentang pekan kecil ini? Bagi saya, ketenangan dan keindahan Sekinchan itu sendiri. Penduduknya yang terdiri dari 3 kaum utama; Cina, Melayu dan India. Keharmonian dan kemesraan antara kaum dirasai. Kehadiran kami di pekan itu turut menjadi perhatian dan bualan. Mereka begitu mesra, tidak lokek dengan senyuman, sehingga duduk di kedai runcit seharian tidak menjemukan. Bagi saya, secara tidak langsung, saya berpeluang melihat bagaimana perniagaan runcit dijalankan oleh peniaga berbangsa lain. Perniagaan warisan keluarga yang masih mengekalkan gaya tradisional mengingatkan saya kepada peniaga-peniaga runcit di pekan kelahiran saya, Padang Rengas. Peniaga berbual dengan pelanggan, dari isu cuaca sehinggalah khabar perkembangan anak-anak. Peniaga dan pelanggan berbual bagaikan sahabat lama.
Hari kedua dan ketiga; tiada penyelia bersama kami. Kali ini, saya pula menjadi pilot. Co-pilot pula, ialah seorang pelajar dari sebuah universiti di Perth; warga Malaysia, lebih tepat ialah warga bandar PJ yang tidak betah dengan suasana luar bandar. Kawan yang baru dikenali ini begitu teruja dengan perjalanan dilalui dan tidak berhenti-henti bercakap (hilang mengantuk dan bosan memandu dengan celotehnya). Sepanjang perjalanan, dia begitu kagum dengan keindahan di kiri kanan jalan. Apa lagi di Sekinchan, keenakan makanan di sana turut menjadi perbualan dan pujian. Saya tidak tahu sejauh mana keenakannya, sebab terpaksa makan makanan halal dari sebuah kedai Mamak sahaja.
Pada hari terakhir, kedai runcit yang menempatkan saya dan Michelle ditutup awal. Kami berdua mencari tempat untuk mengemaskini laporan. Saya memilih tempat letak kereta berhampiran masjid Sekinchan. Mudah. Selepas solat Asar, terus berbincang. Sewaktu berbincang, saya terhidu bau laut. Dibesarkan berhampiran pantai di Bagan, Kuala Terengganu dan Gelugor, bau itu tidak asing bagi saya. Saya hairan. Kenapa ada bau sebegitu. Michelle memaklumkan kawasan ini berdekatan dengan pantai. Michelle telah dimaklumkan oleh peniaga kedai yang di belakang pekan ada sebuah pantai dan makanan laut turut dijual. Sebelum pulang, Satria saya menyusur di belakang pekan untuk mencari pantai tersebut. Gelihati pun ada, mencari sendiri tanpa Tourist Guide. Akhirnya, kami tidak menemuinya tetapi kami menyaksikan pemandangan indah sawah padi yang menghijau. Semua terpegun, menikmati keindahan sawah ketika waktu hampir Maghrib. Kerana kesuntukan masa, kami pulang. Bagi memenuhi tuntutan perut yang berkeroncong dan keinginan kawan kami yang sekali sekala pulang ke tanah air, kami singgah di sebuah restoran di Kuala Selangor untuk menikmati makanan laut yang segar dan benar-benar enak, yang tidak pernah dirasai sepanjang bermastautin di Kuala Lumpur.
Jika ada peluang, sudah tentu saya akan ke Sekinchan lagi. Bertugas di sana umpama satu terapi ketenangan. Jauh dari hiruk pikuk kota, memberi ruang untuk berfikir dan bermuhasabah.
Comments