Berniaga: apa yang utama?

Tulisan saya sebelum ini; diakhiri dengan ayat yang jika diucapkan, umpama mulut takde insuran. Jika tulisan, tulisan takde insuran agaknye... Bukan tujuan untuk menyindir. Saya berkongsi kisah tersebut untuk berkongsi sedikit ilmu yang sekelumit pada diri saya.

Pada hemat saya, sekilas pandang di pusat komputer tersebut, boleh saya simpulkan; zaman gemilangnya sudah berakhir. Saingan dari pengusaha CC yang menyediakan peralatan baru, kepantasan melayari internet, suasana yang lebih selesa dan mesra pengguna menjadi ancaman kepada pengusaha lama. Jika saya berada di tempat pemilik kedai dan bertemu pelanggan lama yang dikenali bukan sekadar hubungan pelanggan-peniaga, sudah pasti saya meminta pandangan ikhlas.

Walaupun saya telah menawarkan khidmat konsultansi kepadanya tetapi mungkin tidak yakin dengan kebolehan saya atau sayang pinjaman tunai diagih untuk bayaran fee yang mana disia-siakan dengan air liur dan kertas-kertas kerja konsultan sahaja, di sini saya lontarkan apa yang ingin saya sampaikan. Lontaran yang cuba dipadatkan supaya ia tepat. Marah? Saya tidak marah kerana khidmat saya dipandang sepi. Dia marah kepada saya? Tiada hak. Ini blog saya. Ruang saya berkata-kata. Saya tidak menyebut mana-mana nama sehingga boleh menjatuhkan maruah dan perniagaan sesiapa.

Baik, saya mulakan.

Apa yang perlu? MATLAMAT. Ya! Kapal yang dikemudi mesti tahu ke mana haluannya. Apa yang hendak dicapai? Berapa lama? Untuk apa? Bagaimana hendak dicapai? Yang paling utama, jika kapal, mana nakhodanya? Jika berniaga, siapa yang bertanggungjawab mengendalikannya? Sebuah syarikat akan berjaya andai pelaksananya tahu tanggungjawab dan bidangkerja masing-masing. Pengarah tahu apa diarah/dirancang. Pengurus tahu apa diurus. Kerani tahu apa diamanah. Pelayan pejabat tahu apa diarah.

Perkara utama dalam perniagaan selain dari modal ialah pelanggan. Diulang, PELANGGAN. Semua tahu, pelanggan penting. Bukan berniaga jika tiada pelanggan tetapi kita lupa untuk melihat perlakuan pelanggan dan perlakuan pengguna. Pentingnya Perlakuan Pengguna (Consumer Behaviour) sehingga adanya kursus memaksa kami penuntut pemasaran menghadap buku tebal selama 3 bulan.

Apa yang dilihat pada perlakuan pengguna? Dari minat, kecenderungan pengguna, kita akan tahu apa yang mahu kita tawarkan kepada pengguna. Sebagai contoh paling mudah; seorang pengusaha CC yang mahu mensasarkan pengguna kepada golongan wanita. Tanya, selidik, apa minat dan kecenderungan kebanyakan wanita. Warna apa yang ramai wanita suka? Warna-warna pastel? Simbahkan cat atau tampalkan kertas dinding berwarna pastel.

Ketika fresh graduate, saya pernah menghadiri temuduga bagi jawatan di Jabatan Pembangunan Manusia sebuah syarikat tekstil antarabangsa; saya disoal tentang kualiti produk. Tidak terlintas saya, soalan sedemikian diajukan bagi jawatan Pembangunan Manusia. Jawapan saya; material yang berkualiti, ketepatan masa pengeluaran yang memenuhi permintaan pelanggan, hasil produk yang berkualiti, di samping servis dan after sales service turut memainkan peranan.

Saya disoal lagi oleh Pengurus Sumber Manusia, "Bagaimanakah penentuan produk berkualiti tersebut?"

Dengan yakin, saya menjawab, "Kawalan kualiti dari semua peringkat pengeluaran. Bermula dari peringkat pemilihan material, rekabentuk, hingga pembungkusan produk"

Penemuduga senyum, "Jawapan awak betul tetapi saya nak tahu, siapa yang hendak menggunakan produk yang kita keluarkan?"

Jawab saya, "Pengguna. Pelanggan"

"Apa yang menyebabkan mereka itu bergelar pelanggan, pengguna?", tanya penemuduga

Soalan dijawab, "Apabila mereka membeli produk tersebut dan menggunakannya atau memberikan kepada pengguna sebenar"

"Apa yang mendorong mereka membeli?"

"Apabila mereka berasa produk itu selesa dan bersesuaian dengan keperluan dan kehendak mereka"

"Jadi, tidakkah kualiti produk dan servis itu sebenarnya bergantung kepada pengguna dan pelanggan itu sendiri?"

Erk...! Saya senyum...

Ya tak ye jugak.. kalau diberi percuma tali leher sutera kepada Pengawal Keselamatan, mungkin disangkutkan sahaja di pondok pengawal atau silap haribulan diguna mengelap air minuman yang tumpah di meja. Tetapi, jika dijual pengalas kerusi yang empuk, kemungkinan ia dibeli adalah lebih tinggi. Kenapa? sebab ia diperlukan untuk keselesaan bekerja. Memenuhi kehendak dan keperluannya!

Bakal pembeli akan membeli. Pembelian yang memenuhi kehendak pengguna menambah bilangan pengguna. Seterusnya, menambah bilangan pelanggan. Pertambahan pelanggan membawa kepada peningkatan jualan. Peningkatan jualan bermakna untung meningkat. Bukankah keuntungan itu matlamat perniagaan? Tidak nama berniaga jika tiada untung.

Saya akhiri dengan kata hikmat zaman silam dari Petua Niaga Orang Cina:

bila seorang insan tahu akan satu perkara, katakanlah dia tahu, tapi bila dia tidak tahu, dia mesti katakan tidak tahu, dan itulah bagaimana caranya dia memperoleh pengetahuan. Jika dia tidak tahu, dia mesti tanya dan bila dia tanya, ramai yang akan memberikan maklumat hinggakan dari tidak mengetahui langsung, dia mengetahui sesuatu dan dari tidak mempunyai apa-apa, dia akan mempunyai sesuatu.
Menjawab tajuk? Bertanya lah yang utama

Comments

Popular posts from this blog

untuk yeop yang benak benor

Loghat teman, siri 2

al fatihah