"Jika ada 2 khalifah bunuh salah seorang"
Ibrahim Batturah al-Haddad Sun | May 31, 09 | 8:39:26 pm MYT | |
SEPOTONG hadis ada menyebutkan bahawa jika ada dua orang khalifah, maka bunuhlah salah seorang daripadanya. Lafaz hadis ini masih boleh diperdebatkan. Kesahihan dan martabat hadis ini juga boleh dipertikai apatah lagi dalam situasi genting di Perak. Barangkali, atas sebab inilah maka telah berlaku Perang Jamal dan Siffin yang menyaksikan sengketa dahsyat antara para sahabat dalam merebut kekuasaan. Jadi secara kebetulan atau memang telah disahkan dalam agama - jika ada dua pemimpin yang berebut kuasa, maka bunuhlah salah seorang daripadanya. Dalam Alam Melayu ada disebutkan pepatah, gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah. Ertinya, raja sesama raja berperang, yang menanggung seksa adalah rakyat jelata yang tidak berdosa. Sebab itu, bagi mengelak masalah pertumpahan ini berlaku, maka dalam ajaran Islam telah pun disebutkan suatu formula, iaitu - bunuhlah khalifah tersebut. Cuma, yang tidak jelas kepada kita, siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk membunuh khalifah itu? Hanya yang kita boleh andaikan buat sementara waktu ialah, kumpulan insan soleh warak yang mendengar hadis ini dan bercita-cita mahu menamatkan sengketa ini, mereka inilah yang boleh membunuh salah seorang daripada khalifah tersebut. Ulasan dan tafsiran hadis Dalam keadaan politik di Perak yang tidak menentu sekarang, kita cuba mengelakkan sebarang pertumpahan darah. Tapi, dalam keadaan kita berhati-hati itu pun, dalam kita tidak isytihar perang membunuh khalifah sekali pun, telah muncul pergaduhan hingga tertumpahnya banyak darah, ekoran tercetusnya pergaduhan demi pergaduhan. Rakyat telah pun nampak, boleh menilai sendiri. Jika Umno-BN boleh serang, kurung dan culik Speaker Perak dalam setor, maka tidak mustahil ketiga-tiga adun sebelum ini sudah pun diculik dengan kaedah yang sama. Entah berapa banyak operasi tangkapan oleh polis dan FRU terhadap pejuang demokrasi ekoran siri perhimpunan demi mempertahan kerajaan halal Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini. Memang tepat, dalam apa jua keadaan, orang-ramai dan masyarakat Perak itulah yang akan lebih banyak menanggung derita sengsara. Mahu tidak mahu kita perlulah kembali kepada kaedah, ajaran dan peraturan agama. Iaitu bunuhlah salah seorang pemimpin, khalifah lalu secara tidak langsung, terhentilah perang antara kedua-dua belah pihak yang bersengketa itu. Memang itulah yang kerap terjadi. Apabila pemimpin perang, khalifah telah mati. Perang pun tamatlah dan lebih banyak nyawa yang terselamat daripada libasan mata pedang. Persoalan siapakah yang benar dan siapakah yang salah antara kedua-dua khalifah, hal itu terserahlah kepada Allah s.w.t di akhirat kelak untuk menjatuhkan hukuman. Hal ini, samalah keadaannya dengan kaedah li'an. Si suami yang menuduh isteri berzina akan bersumpah dan isteri pun boleh bersumpah. Akhirnya, mereka bercerai. Keputusan itu ditangguh ke mahkamah Allah di akhirat kelak. Itu sahaja. 'Bunuh'lah karier politik salah seorang khalifah Akan tetapi dalam kes 'perang' permusuhan antara Nizar dan Zambry, adakah kita sampai perlu saling berbunuhan sehingga menumpahkan darah? Barangkali tak perlu atau tidak sampai ketikanya lagi untuk dibunuh dalam erti kata yang sebenarnya. Dalam pada itu pun, tidaklah salah jika kita mengemukakan pandangan dan ijtihad baru ke atas hadis ini. Apa kata kalau kita tafsirkan lafaz 'bunuhlah salah seorang daripada khalifah' itu melalui tafsiran seperti ini, iaitu 'bunuhlah jawatan khalifah salah seorang daripadanya'? Sebenarnya memang sudah ada usaha untuk membunuh dan mempertahan jawatan antara Nizar dan Zambry sendiri. Apa-apa yang berlaku mutakhir ini, khasnya pada 22 Mei lalu ketika mahkamah memutuskan Zambry sebagai MB adalah antara contoh popular. Tapi, itu adalah contoh membunuh karier politik Nizar melalui jalan mahkamah. Nizar juga cuba mendapatkan haknya melalui mahkamah untuk membunuh karier politik Zambry sebelum ini. Nizar berjaya pada mulanya. Tapi, akhirnya, melalui kaedah yang sama, Zambry telah ambil injuksi mahkamah, untuk menangguhkan keputusan itu, lalu dengan tidak semena-mena Zambry menjadi MB. Zaman ini, semua orang menggunakan undang-undang lalu mengenepikan soal moral dan akhlak. Tindakan Zambry dan Najib berhubung hal ini seperti dikatakan orang Inggeris; legally right, but morally wrong. Sedangkan, dalam kes Nizar itu, tindakannya bersifat legally right dan morally right. Secara perundangan, Nizar di pihak yang benar dan secara beradab, berakhlak, Nizar juga berada di pihak yang benar. Kalah dari segi moral Zambry menang melalui undang-undang, tapi dari segi moral dan akhlaknya, beliau tetap bersalah. Rakyat tidak merestui beliau. Dan, sebab itu mereka enggan adakan pilihan raya negeri. Ini kerana, mereka sendiri tahu bahawa mereka akan kalah ditolak rakyat. Maka, jalan pembunuhan karier politik kedua-dua orang 'khalifah' ini telah gagal melalui jalan kehakiman. Para hakim di peringkat atasan mudah dibeli berbanding hakim-hakim di peringkat bawahan. Dan mungkin antara tujuan kenapa Zambry mengambil injuksi menangguhkan keputusan awal mahkamah itu, adalah kerana mereka tahu hakim-hakim di peringkat tinggi itu akan mencetak keputusan yang memihak kepada Umno dan BN. Kalau mahkamah, hakim-hakim dapat dijual beli, maka maruah kehakiman sudah tercalar lalu kuasa kehakiman bukan lagi simbol kuasa, malah industri; 'industri kehakiman'. Pada zaman dahulu sultan-sultan mempunyai daulatnya. Dan, daulat itu berasal dari bumi dan rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan mereka. Rakyat itulah yang menyebutkan Daulat Tuanku kepada baginda sultan. Zaman berubah. Tetapi, hal naik turun seseorang khalifah, pemerintah itu tetap kekal di tangan rakyat. Di sini amalan demokrasi mengambil peranan dengan menjadikan pilihan raya sebagai suatu mekanisme yang terpenting. Apabila rakyat menaikkan seseorang pemimpin, maka di tangan rakyat itu jugalah kuasa seseorang pemimpin itu boleh berpindah tangan. Maka, rakyat itulah hakim sejati. 'Industri kehakiman' di mana hakim-hakimnya boleh meletakkan nilai harga diri masing-masing bukanlah kuasa yang telah menaikkan pemimpin dan MB sebelum ini. Itu adalah bidang kuasa rakyat yang dibenarkan memilih perwakilan mereka dalam pilihan raya. Itu bidang kuasa rakyat sebagai yang termaktub dalam perlembagaan kita. Itu jelas. Maka berbalik kepada mafhum hadis tadi, hendaklah dibunuh karier politik salah seorang khalifah (Nizar atau Zambry) untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah. Hadis itu disebutkan oleh Rasulullah s.a.w yang hidup pada zaman di mana pengasingan kuasa belum diwacanakan sebagai suatu teori. Baginda tidak ambil pusing soal eksekutif, parlimen dan semua ungkapan itu tentunya asing kepada baginda. Akan tetapi lafaz yang terlompat daripada pengertian hadis ini amat jelas. Iaitu kumpulan yang dimaksudkan sebagai layak 'membunuh' khalifah itu adalah rakyat itu sendiri. Ini kerana, khalifah itu dibai'ah oleh rakyat dan umat. Samalah konsepnya dengan sistem politik hari ini iaitu adun-adun perwakilan rakyat akan dipilih oleh rakyat melalui bai'ah atau proses pengundian dalam pilihan raya. Pemimpin itu lahir, hidup dan diberi nafas pemerintahannya oleh rakyat. Dan, mereka ini boleh dimatikan, pemerintahannya boleh diwafatkan, riwayat kepemimpinannya bolehlah ditamatkan dan dikhatamkan oleh rakyat melalui proses pilihan raya. petikan dari harakahdaily.net |
Comments