Kenal diri melalui kawan
Pagi ini, selepas tamat kelas mengaji, saya serahkan write-up yang telah saya siapkan Khamis lalu kepada Kak Fikah, classmateku. Kak Fikah, seorang muallaf berketurunan Portugis ialah guru Bahasa Inggeris MUET. Rezki menyertai kelas ini, mendapat seorang pemeriksa tatabahasa Inggeris untuk tulisan saya. Tiada caj dikenakan, malahan Kak Fikah nampak berminat nak baca write-up saya.
Seronok dan syukur mendapat kawan yang boleh membantu dan saya juga suka jika dapat kawan untuk dibantu.
Dalam berkawan, saya banyak belajar. Belajar dengan ilmu kawan kita, belajar berkongsi ilmu melalui perbincangan, belajar menerusi pemerhatian kita. Dan dalam banyak-banyak yang saya pelajari, anugerah pembelajaran yang paling saya hargai ialah belajar mengenal diri sendiri.
Bagi saya, setiap jalinan persahabatan yang memberi kesan positif atau negatif menjadikan saya belajar kenal diri sendiri. Lagi banyak kita berkawan, semakin kita kenal diri kita sebenarnya. Kita tidak perasan hal ini.
Teringat perbualan saya dengan staf wanita berbangsa Cina di pantri pejabat saya dahulu. Apabila dia melihat saya makan bekal tengahari di pantri, terus dia datang berbual dan bertanya masakan bekal saya. Kebiasaannya saya jawab bersopan, apa yang patut dan tak menyinggung wanita berusia hampir sebaya ibu sendiri. Saya tahu ramai di pejabat tak berapa suka perempuan tua ni :) Tapi, bagi saya, tidak ada sebab saya perlu bersikap sarcastic kepada dia. Daripada dia, saya belajar beberapa resepi sayur dengan cara masakan Cina yang ringkas dan sedap. Sehingga sekarang, setiap kali saya menyediakan masakan Pak Choy dengan cara yang dia terangkan, pasti saya teringat kepada auntie ni (walaupun namanya susah benar saya nak ingat).
Apa yang saya belajar untuk kenal diri sendiri? Saya tahu resepi mudah sedap yang saya tak tahu. Itu sudah pasti. Yang tidak kita sedari - saya belajar, yang saya tidak suka makan sayur hijau kerana saya tidak pandai memasaknya.
Saya kenal diri apabila kawan bercerita sesuatu tentang diri mereka kepada kita. Dari kawan, kita tahu apa yang kita ada, kawan kita tiada. Kita belajar kenal kelebihan diri kita. Kita bersyukur dengan anugerah diberi. Begitu juga sebaliknya; apa yang kita tiada, kawan kita ada. Kita tahu kekurangan kita yang perlu dibaiki. Memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, kenal kawan untuk kenal diri sendiri kurang bermakna jika kita kenal kawan melalui kawan lain kerana sebenarnya kita kenal kawan dari matahati orang lain, bukan dari matahati kita sendiri. Dan sebab itulah- ghibah itu dosa.
Ingatan untuk diri sendiri dan kawan-kawan yang berkunjung membaca tulisan saya ini - Elakkan mengumpat, ikhlaskan diri dalam bersahabat.
Comments