rindumerindui

semasa mengemas almari, terjumpa satu artikel yang pernah saya tulis untuk laman web klien saya. artikel ini pernah dipaparkan di laman web belaiankasih.net, sekitar tahun 2003. (laman ni sudah lama tinggal sejarah) selamat membaca hasil tulisan saya... 6 tahun yang lalu..


RINDU-MERINDUI


Rindu? Rindu itu apa? Bila sebut perkataan ini, riak wajah pastinya berbeza dari biasa. Bagi yang mendengar ungkapan ini daripada seseorang, pastinya tersenyum dan mungkin terdapat pelbagai reaksi lain. Adakah anda sedang merindui sesiapa atau apa-apa? Saya pasti ada perubahan pada wajah anda atau tergerak sesuatu di naluri anda. Sepanjang hayat kita, sebenarnya kita sering merindu.


Seorang anak kecil mungkin meragam dan tidak sihat lantaran tidak ketemu ayahnya beberapa hari kerana ayahnya bertugas di luar daerah.


Seorang anak remaja yang bersekolah asrama, rindu untuk pulang bercuti bertemu keluarga. Bagi anda yang pernah melalui zaman persekolahan di asrama, tentu memahami perasaan itu. Apabila begitu lama tidak pulang bercuti, ada pelajar yang termenung, ada yang tidak bersemangat untuk belajar. Ada pula yang bercerita sesama sendiri tentang hal keluarga masing-masing, memperihalkan perangai adik-adik, abang dan kakak. Ketika menjamu selera di dewan makan asrama, terkenang masakan ibu di rumah, walaupun yang dimasak ibu hanyalah masakan yang ringkas seperti sayur kangkung goreng atau daging rebus cicah air asam.


Tamat alam persekolahan; sementara menanti keputusan peperiksaan diumumkan, pastinya tinggal di rumah bersama ibu, ayah dan adik-beradik lain. Tidak lagi rindu, tidak lagi terkenang-kenang masakan ibu.


Tetapi masih lagi merindu..... Rindu pula kepada teman-teman sekelas, kepada cikgu-cikgu yang sering berleter dan suasana alam persekolahan itu sendiri. Ada satu yang dirindui. Di akhir usia belasan tahun, ungkapan cinta mula mendapat tempat. Terbayang-bayang wajah si dia yang dirindui. Bak tajuk sebuah lagu - Rindu Bayangan. Cinta di usia muda - disebut orang 'cinta monyet'. Akhirnya berlalu begitu sahaja.


Keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan. Selepas itu, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang mahu meneruskan pengajian dan ada yang tidak sabar-sabar menceburi bidang pekerjaan. Baik belajar atau bekerja, kebiasaannya kita akan berhijrah. Ya... perasaan rindu kepada keluarga dan kampung halaman bertakhta kembali. Saat ada peluang bercuti, pastinya kaunter tiket bas/keretapi awal-awal lagi di'ziarahi'.


Setiap insan yang normal sudah pastinya ingin hidup berpasang-pasangan. Menempuhi alam percintaan, penuh pahitmanisnya. Yang manis apabila dapat bertemu, berbual mesra, yang pahitnya apabila tidak mendengar khabar daripada si dia. Sihat ke? Sakit ke? Terlalu sibuk bekerja ke?


Tika tiba perasaan begini, jika tidak dapat bersua muka, alat telekomunikasi menjadi penghubung setia. Telefon, pesanan sms atau e-mel diguna melepaskan rindu yang membara.


Menempuhi alam rumahtangga, rindu kepada pasangan adalah lumrah. Apabila sudah bergelar ibu/bapa terkenang-kenang anak yang terpaksa ditinggalkan atas urusan kerja. Bertambah usia, anak semakin dewasa. Mereka pula terpaksa meninggalkan kita untuk menyambung pengajian atau bekerja atau mendirikan rumahtangga. Perasaan rindu sesama sendiri wujud.


Nah! Sekarang terbukti betapa kita sering rindu-merindui. Ungkapan dan rasa rindu itu menyatakan perasaan kasih-sayang dan cinta kita terhadap seseorang atau sesuatu atau apa-apa saja yang bererti dalam kehidupan kita.


Segala perasaan itu hadir dalam diri setiap insan normal. Perasaan yang dikurniakan olehNya kepada kita. Oleh itu, setiap saat dan tika, kita tidak lupa memenjatkan kesyukuran atas segala perasaan yang diberiNya.


Hanya Allah yang lebih mengetahui

Comments

DaliaLiyana said…
rindu kpd manusia tak kekal...rindu pdNYA yang kekal abadi..tp rindu ni mmg satu benda ygnpelik tau..satu perasaan yang tak lboleh diungkapkan dgn kata2...dalia penah rindu kat seseorg..susah nak lupakan...up to now...! huhuhu...
anna said…
bg saya, saya malas nak layan perasaan rindu kpd yg tidak sudi..bizikan diri aje.. byk2kan amal bekalan akhirat
Saidah said…
hmm sy lak suka merantau jauh2 dr kampung halaman.. sebabnya bila jauh, kita sangatlah rindu pd family di kampung..

Popular posts from this blog

Loghat teman, siri 2

Tanggungjawab seorang Juruwang

Sekilas Sekinchan