akal kita… logik kita…

Lebih kurang empat tahun lalu, istilah 'common sense' sering hinggap di telinga saya… rakan sepejabat saya sering menggunakannya kerana tidak puas hati apabila ada subordinat yang lambat mengambil tindakan/tindakbalas yang bagi kami; ia adalah perkara biasa yang dilakukan dengan perkara yang biasa. Tiada apa-apa yang susah atau luar biasa. Hanya hal-hal biasa. Sebagai contoh, jika kopi tumpah di atas meja – secara common sense; kita akan mengelapnya tetapi ada yang membiarkannya. Luahan sahabat ini sering saya dengar dan di penghujung luahan, pastinya ada pertanyaan tergantung ”apsal lah diorang tak boleh fikir? 'Common sense' lah...very simple...”

Akhirnya saya terfikir dan bertanya pada diri, mungkinkah 'common sense' bagi kita tetapi tidak bagi orang lain? Adakah sesuatu yang mudah dan biasa bagi kita adalah sesuatu yang sukar dan luar biasa buat orang lain?

Menyorot kembali zaman pengajian di kampus dahulu. Sebagai pelajar jurusan Pengurusan yang mengikuti minor Pengajian Islam, masa kuliah dan tutorial terpaksa diatur sebaik-baiknya. Ini disebabkan tidak ramai penuntut Pengajian Pengurusan memilih Pengajian Islam sebagai minor. Jarak di antara dewan kuliah atau kelas tutorial bagi kedua-dua Pusat Pengajian agak jauh. Jauh bagi saya yang menggunakan perkhidmatan kaki sendiri. Perkara biasa bagi saya untuk bergegas dari satu dewan kuliah ke satu lagi dewan kuliah. Pada tahun akhir semester pertama, kuliah Pemasaran berturutan dengan tutorial Munakahat. Sebaik habis kuliah, terus berjalan sepantas-pantasnya untuk tiba ke kelas tutorial yang terletak berdekatan Pusat Pengajian Sains Sosial.

Berusaha tiba lebih awal sebelum kelas bermula. Tetapi kebiasaannya, lewat dan setiap kali sampai lambat, saya akan masuk menggunakan pintu belakang, berjalan perlahan-lahan, mencari bangku terdekat, duduk dahulu, jika berasa ada tempat yang lebih strategik, bangun perlahan-lahan bergerak ke port yang sesuai. Bagi saya, tindakan saya itu 'common sense ' kerana tidak mahu pengajaran ustaz terganggu dek kelewatan saya. Walau bagaimanapun, terdapat sekumpulan penuntut-penuntut berkategori ’ayu’ (di kalangan kawan-kawan, ’ayu’ bermaksud mereka yang berpakaian baju kurung dan bertudung litup, berjalan lemah gemalai...) yang tiba lewat tetapi penuh dengan ketenangan, memasuki kelas melalui pintu hadapan, memberi salam dengan sopan. Pengajaran ustaz diteruskan setelah mereka duduk dan mengeluarkan buku nota. Mungkin bagi mereka 'common sense'untuk menghormati tuan guru dengan memberikan ucap salam. Setelah melihat suasana yang sama berulang setiap minggu, ustaz menyebut tentang perkara yang dianggap mengganggu perjalanan pengajian. Saya pun tidak sangka, hal yang saya anggap 'common sense' diterima oleh tuan guru...


Berbalik kepada rungutan sahabat saya, saya bersuara dan memberikan pendapat (pastinya berdasarkan 'common sense' saya): apa yang 'common sense' adalah berdasarkan pengalaman dan ilmu seseorang.

Kenapa saya berkata demikian? Kerana....

Sewaktu dibesarkan, saya dilatih dan diajar secara tidak langsung tentang menghormati majlis. Apabila kami sekeluarga bersiap untuk menghadiri majlis ilmu, pasti abah bising-bising meminta kami cepat bersiap supaya tiba lebih awal dari penceramah. Di seminar-seminar perniagaan abah atau rakan-rakan abah, setiap kali kami tiba lambat, abah akan memberi isyarat jangan bising. Dari pintu belakang, kami bergerak perlahan-lahan lalu mengambil tempat.

Kesimpulan dari hasil perbincangan: yang biasa bagi kita, mungkin luar biasa bagi orang lain. Hal ini timbul kerana latar belakang, pengalaman, pengetahuan dan situasi kita yang berbeza. Tidak lupa, tindakan dan reaksi kepada sesuatu perkara juga berlainan mungkin disebabkan kedudukan dan pangkat kita.

Inilah kesimpulan dan pendapat saya berdasarkan 'common sense' saya sendiri. Yang paling utama, setiap kali saya berasa seperti geram garam kepada cashier di stesen petrol atau masam-masam pahit di kaunter TMPoint, saya akan mengingatkan diri saya dengan hasil perbincangan kami dahulu….

***kepada sahabatku Hasnizah, terima kasih kerana isu ini memberikan kesan dalam mematangkan kita...

Comments

zumairi said…
'common sense' dlm bahasa e-bonda apa ye
anna said…
sebenarnya akak pun x sure...tp lebih kurangnya, guna akal, perkara yg biasa dibuat..

Popular posts from this blog

untuk yeop yang benak benor

Loghat teman, siri 2

al fatihah