Penghargaan: 1 impak pelaburan

Tajuknya menampakkan seolah-olah saya ingin membawa anda kepada satu diskusi yang berat. Beratkah? bergantung kepada penerimaan anda, penghayatan, ketelitian anda.

Saya ingin berbicara tentang dua situasi yang pernah saya perhatikan/alami/diperdengarkan.

Situasi 1

Ketika itu, saya baru menjawat jawatan sebagai Pembantu Khas kepada seorang VIP. Beliau mempunyai sebuah syarikat bumiputera, peninggalan allahyarham suaminya. Sebelum saya meneruskan kisah situasi ini, ingin ditegaskan; bukan bertujuan untuk menjatuhkan imej sesiapa tetapi sebagai renungan bersama...

Pagi itu, saya dimaklumkan oleh seorang Pegawai Operasi, salah seorang kakitangan bawahan telah kembali ke rahmatullah. Arwah telah berkhidmat sejak allahyarham Dato' menerajui syarikat. Berita itu dikhabarkan dengan segera kepada Y.Bhg. Respon beliau, dapatkan alamat rumahnya, untuk tujuan berziarah. Saya berusaha mendapatkannya. Alamat diterima, terus ditaip dan cetak (terpaksa berbuat begitu kerana beliau seorang yang kemas & teliti), lalu saya serahkan kepada beliau. Yang bertulisan tangan telah saya serahkan kepada pemandu peribadi beliau.

Sebaik alamat disambut, ditanya pula "where is the map?".

Saya terkejut dan terlontar suara, "map?..."

"Yes, I don't want to waste time and petrol. You better get it"

"Ok", saya menjawab dan terus beredar mendapatkan seberapa ramai pegawai/penyelia atasan arwah bagi mendapatkan peta lokasi ke rumah arwah.

Jawapan mereka "kami pun nak mencari juga, tapi tidaklah susah sangat. Alamat dia pun tak berapa jauh dari sini"

Disebabkan pejabat tiada kemudahan internet, saya tidak boleh mencari dengan bantuan internet. CC pun jauh dari pejabat. Saya juga tidak boleh meninggalkan pejabat, menyuruh staf lain pun tidak boleh.

Kembali ke bilik beliau, saya maklumkan sejujur-jujurnya (tentang internet akses tu taklah...). Responnya : "It's 10.30 am pun, if we could find the house, jenazah dah selamat kebumi. I pun banyak kerja yang nak disiapkan.. nantilah next time kita pergi, bagi duit sedekah sikit"

Sehingga hari saya menjejakkan kaki keluar dari bangunan tersebut, di dalam pengetahuan saya, tidak pernah ada ziarah ke rumah allahyarham pekerja ini.

Situasi 2

Sebenarnya situasi ini mendahului situasi di atas. Saya tidak mengalaminya tetapi dikisahkan oleh seorang taukeh dari Pulau Mutiara. Kisahnya diperdengarkan semasa saya di tahun akhir Pengajian Pengurusan.

Beliau berkisah impiannya untuk memiliki sebuah syarikat sendiri. Berbekalkan ilmu dan pengalaman sebagai seorang jurutera, beliau membuka sebuah kilang. Hasrat dan usaha beliau diketawakan oleh saudara mara. Hanya yang memberi sokongan padu ialah isteri dan anak-anaknya. Pernah satu ketika, beliau keresahan kerana gaji pekerja belum dijelaskan sedangkan sudah melepasi hari pembayaran gaji. Dengan perasaan tidak menentu, beliau turun menjenguk pekerja. Beliau mendapati, ada pekerja yang tidak hadir. Beliau bertanya, lalu ada yang memaklumkan salah seorang nenek pekerja meninggal dunia. Mengetahui hal tersebut, beliau bergegas menziarahi keluarga pekerja tersebut. Pekerjanya terkejut menerima kunjungan majikan yang berlainan agama dan bangsa. Selepas peristiwa tersebut, dengan senyuman beliau menjelaskan kepada kami: sokongan dan penghargaan kepada pekerja akan membuahkan hasil kejayaan.

Ketika beliau menceritakan pengalaman beliau, syarikat beliau sedang mengorak langkah gemilang (kalau tidak gemilang, masakan dekan saya mengundang beliau).

Mengapa 2 situasi ini ditimbulkan?

Sebagaimana tajuk saya, pada pandangan saya, satu tindakan kita membuahkan imbalan yang berbeza. Satu penghargaan, adalah satu impak pelaburan yang menghasilkan buah kejayaan.

Produk syarikat taukeh dari Nibong Tebal kini menerajui pasaran negara. Di mana pula syarikat yang satu lagi?

Berpeluang berbual dengan teman-teman sepejabat dahulu, soalan saya "Layout pejabat tu masih sama seperti dahulukah atau sudah menarik?". Jawapannya, "Sama macam dululah... okay sikit dari zaman P.Ramlee...", disambut hilai tawa...

Comments

zumairi said…
ikut pada hati bos masing-masing...kalau dia fikir nak untung je tanpa fikirkan kebajikan pekerja...kebajikan di sini bukan setakat duit...tapi hati dan perasaan pekerja...kalau taknak labur utk situasi camni mmg tak lama la company tuh..ok ke pendapat nih ;-)
http://paksuu.com
anna said…
zumairi, memang setuju sangat... ada company boleh bertahan lama jugak tanpa peduli kebajikan pekerja sebab x anggap pekerja aset tapi company mcm ni akan hidup segan mati x mau aje la..

Popular posts from this blog

Loghat teman, siri 2

Sekilas Sekinchan

Tanggungjawab seorang Juruwang