Orang kita berniaga....

Nampaknya ada kerja yang terpaksa saya cetak segera. Saya ke bandar untuk mendapatkan perkhidmatan percetakan. Sebaik tiba, saya menuju ke Pusat Komputer yang biasa saya kunjungi sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, 7 tahun dahulu. Walau pun Pusat komputer dan Cyber Café (CC) semakin bercambah di bandar diraja ini, saya tetap memilih tempat lama. Lagipun, pemiliknya telah biasa dengan saya. Mudah berurusan.

Sebaik menjejakkan kaki, terasa suasananya berbeza dari dahulu. Agak suram. Kurang pelanggan. Saya terus memilih komputer dan menyemak kerja saya sebelum dicetak. Semua emel yang diterima turut disemak. Selesai urusan, saya terus ke kaunter bayaran. Pemiliknya sendiri berada di kaunter bayaran. Sementara menunggu baki wang saya dikembalikan, saya mendongak melihat dinding Pusat Komputer. Ada berbagai warna yang pudar. Oren, kuning dan biru nampak bersopak. Agaknya hati kecil pemilik terasa dengan tingkah saya.

Dia berkata, ”Kami nak buat cantik-cantik, cat semula tempat ni”.

Disebabkan saya sudah biasa dengan pemilik kedai, tiada silu, saya bertanya kemajuan Pusat Komputernya setelah saingan yang semakin bertambah. Katanya, ”pada hari cuti, tempat ini penuh juga tetapi masalah yang dihadapi; peralatan komputer selalu dirosakkan oleh pelanggan yang bermain game, nak diperhatikan (pantau), tidak sempat”

Tambahnya lagi, ”sebenarnya, saya lebih suka perempuan (pengguna wanita) yang menggunakan komputer sebab masalah peralatan PC rosak tak timbul”

Saya lihat setiap PC tiada kamera seperti kebanyakan CC yang saya kunjungi.

Saya menyuarakan cadangan saya, ”kalau begitu, letakkan sahaja pelanggan yang suka bermain game dan ada kemungkinan merosakkan peralatan komputer berdekatan kaunter. Mudah dipantau. Kalau mahu menarik lebih ramai pengunjung wanita, sediakan satu sudut menarik dengan latar belakang warna dinding yang sesuai”

Dia mengangguk-angguk.

Dia berkata lagi, ”hendak menukar cat dan ubahsuai pun memerlukan modal juga. Caj bil asas seperti elektrik dan air semakin tinggi berbanding dahulu. Ini menyebabkan pendapatan bersih kurang”

"Oh.. begitu", balas saya.

Dengan senyuman, dia mengakhiri perbualan dengan memberitahu ”saya pun dah minta pinjaman bank. Sepupu saya bekerja di sana. Confirm lulus”

Saya senyum.

Baki wang diterima, dimasukkan ke dalam beg duit. Beg tangan dibuka untuk memasukkan beg duit. Eh!.. kenapa ni? Ada habuk pula? Tangan saya terkena habuk tebal di beg tangan. Baru saya perasan, saya telah meletakkan beg tangan saya di tepi monitor komputer dan monitor itu berhabuk, bukan setakat berhabuk, malah bersawang. Hampir semua komputer yang saya lihat berkeadaan sedemikian. Saya mohon izin menggunakan tandas bagi membasuh tangan. Masuk ke tandas. Sinki berlendir. Baldi dan gayungnya berkarat. Mop dan peralatan mencuci yang diletakkan di dalam tandas kecil itu tidak disusun rapi. Cepat sahaja saya keluar.

Sesampai di kereta, saya imbas perbualan saya dengan pemilik Pusat Komputer sebentar tadi. Hati saya bersuara ’Err... takkan nak cuci habuk dan maintain jamban pun kena tunggu kelulusan bank?’

Comments

chiya_chubby said…
hahaha...statement last 2 x bleh blah..itu la org kita akak..alasan je byk..
anna said…
gitu lah... tunggu entry seterusnya

Popular posts from this blog

untuk yeop yang benak benor

Loghat teman, siri 2

al fatihah