Kisah balik Raya

Saya dah balik ke tempat cari makan. Alhamdulillah, dipermudahkan perjalanan balik. Syukur juga kerana dipermudahkanNya perjalanan balik ke kampung tempoh hari. Menyebut perjalanan balik kampung, saya menggunakan perkhidmatan bas dari Pudu Sentral. Walau bagaimanapun, saya tidak suka meluangkan masa terlalu lama di Pudu Sentral. Pengalaman hampir kena pow 2 kali menyebabkan saya lebih berhati2. Guna servis bas sebab tiket tren ke utara dah habis. Drive with my own car? Oh! minta maap lah... penat... 

Kali ini, saya bukan nak cerita pasal kena pow. Cerita kena pow tu, insya Allah dalam entri lain. Pada hari yang nak balik, dengan tiket bas perjalanan 9 pm, congak2, tak sempat kalau berbuka puasa di rumah. Mesti keluar rumah sebelum Maghrib. Tapi terlalu awal pula berada di Pudu Sentral. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk tapau makanan berbuka di Bazar Ramadhan berdekatan rumah, terus ke stesen LRT dan berbuka + solat di Masjid Jamek. Selepas bersolat, bergerak ke Pudu Sentral. 

Walau bagaimanapun, perancangan slightly change. Disebabkan beg-beg yang terlampau berat (bawak balik kuih raya), rasa tak larat nak bawa tambahan satu bungkus makanan. Plan tukar, berbuka kurma & home made carrot juice, solat & terus ke Pudu Sentral. Sampai di sana, baru makan di Marrybrown.

Meneruskan perjalanan dengan LRT. Sesampai di Masjid Jamek, jam menunjukkan hampir 6.30pm. Ramai orang di masjid. Sebaik menghampiri masjid, ada lelaki menghulurkan bunga ros segar. Terkejut juga. Rupa2nya ada majlis anjuran Maiwp di masjid. Selepas mengambil wuduk, sempat juga menoleh-noleh, melihat acara penyampaian sumbangan. Program itu ada menyebut perkataan Penyayang. Nampak juga, ada bangsa Cina dan India yang berpakaian lusuh berdiri di dalam perkarangan masjid. Apabila waktu berbuka hampir sangat tiba, mula-mula bercadang duduk jauh dari tikar yang dibentang untuk orang berbuka puasa. Nak cepat solat dan bergerak ke Pudu Sentral. 

Apabila melihat ramai orang mendapat bungkusan makanan berbuka puasa, termasuk satu keluarga Arab, mungkin saya juga boleh mendapatkannya. Saya menghampiri seorang wanita yang duduk bersendirian dan bertanya. Dia menunjukkan arah untuk mendapatkan makanan. Baru beberapa langkah menapak, seorang staf Maiwp, menghulurkan sebungkus makanan, siap dengan air kotak dan buah-buahan serta kuih-muih lagi..

"Dah dapat?", sapa wanita yang saya ajukan pertanyaan tadi. Perbualan dan perlakuan antara saya dan wanita ini mengundang satu perasaan yang jarang-jarang saya rasai.

Saya: Kakak di situ yang bagi
W: Nak bubur?
S: Saya dah dapat ini
W: Bungkusan tu tak ada bubur. Saya tak tahu ada bagi bubur lagi. Saya sudah ambil 2 bungkus pukul 4.30 tadi.
S: Oh! Boleh juga (sekadar nak ambil hati sebab nampak bersungguh2 dia nak berikan bubur dia kepada saya.

Lantaran mahu cepat beredar ke dewan solat, saya duduk di belakang wanita itu. Melihat saya di belakang, "marilah duduk di depan sini, adik". Segan pula saya, saya berubah tempat. Duduk berhadapan dengannya. Kami duduk berdekatan tangga. 

W: Dari mana?
S: K....t. Kak dari mana?
W: (matanya dipejamkan, seakan sukar melafazkan) Chow Kit! sini, Jalan TAR

Sebelum azan berkumandang, saya melihat persekitaran. Ada wanita berusia akhir 50an yang duduk sebaris dengan kami hanya memakai seluar dan T-shirt. Tudung yang dikenakan pun improper. Wanita di depan saya juga begitu, kain selendangnya sangat jarang sehingga menampakkan rambutnya. Baju kurungnya tidak bergosok. 

Wanita di depan saya memberitahu saya yang majlis hari itu bermula dari awal pagi. Dan sesiapa yang datang pagi tadi menerima RM100 seorang. Dia pula tidak datang kerana lambat tahu tentang program tersebut. Saya kata, "rezeki mereka". Dia mengulangi respon saya. Dia bercerita lagi, 

W: Tadi ada kuiz, yang bertanya tu, bagi soalan, berapa hari kita berpuasa. Tapi ada yang jawab 55 hari, salah. Abang jawab betul, dapat hamper ini.
(Saya melihat hamper di sisinya dan senyum)
W: Dia jawab 55 hari salah. Kita puasa 52 hari, kan? 45 hari?
S: Puasa Ramadhan ke?
W: Urm
S: Biasanya kita puasa 29 hari
W: 29? Dia kira minggu, kan?
S: Kira hari boleh, minggu pun boleh. Kalau minggu, lebih kurang 4 minggu.

Azan maghrib berkumandang. Semua senyap menikmati hidangan berbuka. Sedang makan, seorang Ah Soh mendekati kami. Kepada yang biasa dengan layout masjid jamek KL, bolehlah membayangkan yang Ah Soh ini berdiri di tepi ruang masjid. Mereka berbual dalam bahasa Cina. Rupa-rupanya, wanita itu muallaf. Setelah menjamah kuih dan sedikit bubur lambuk, saya berasa sangat kenyang. Tiba2 seorang lelaki Melayu (saya agak, suami wanita tersebut) meletakkan 2 bungkusan makanan. Saudara baru itu terkejut kegembiraan. Walaupun dia tak senyum, saya tahu, dia menghargai bungkusan tersebut. Saya mohon beredar dan berterima kasih kepada saudara seIslam yang baru dikenali. 

Selesai solat Jamak, bergegas ke LRT Masjid Jamek. Ketika saya berjalan keluar, saya melihat satu golongan yang berpakaian lusuh dari pelbagai bangsa mendapatkan makanan. Dengan beg-beg yang berat, baru berjalan sedikit, saya sudah berpeluh-peluh. Tiba-tiba, saya disapa oleh seorang adik berpakaian ala tomboy menawarkan diri mengangkat satu tali beg saya, sehingga ke pintu LRT. Sewaktu bergerak ke platform, LRT telah pun sampai. Adik itu berkata, "sebenarnya saya belum ambil anak saya dengan penjaga. nak balik cepat". Jawab saya, "kalau macam tu, kita lari lah" Kami berlari-lari anak. Tapi adik itu tak dapat naik bersama saya. Destinasi LRT tidak ke tempat yang dia tuju.

Di Pudu Sentral, ketika duduk menunggu bas; semua mata orang di sekeliling saya tertumpu ke arah berdekatan saya. Rupa-rupanya, lelaki muda dalam lingkungan awal 30an yang duduk di bangku sebelah; kudung kedua-dua belah tangannya separas siku. Dia duduk mengiring membelakangi saya. Dia meminta tolong dengan lelaki di sebelah kirinya, untuk menggunakan handphonenya. Sebenarnya, sebelum itu, saya tak perasan sebab sibuk sambung makan bubur lambuk yang disuap beberapa sudu di masjid tadi. Tidak berapa lama selepas itu, dia beredar. 

Di atas bas, saya mengenang kembali golongan yang saya berhadapan sebentar tadi. Di masjid, itulah golongan gelandangan yang sebelum ini; saya hanya melihat mereka tidur di kaki lima, memandang mereka tanpa apa-apa perasaan. Belum pernah saya berjumpa dengan seorang wanita ala tomboy yang bersifat keibuan. Tidak ketinggalan, OKU yang pada mata saya, nampak tabah dan berdikari. 

Tidak pernah terlintas diberi peluang oleh Allah untuk bersua dengan mereka. Semoga Allah merahmati mereka.




Comments

Popular posts from this blog

Loghat teman, siri 2

Sekilas Sekinchan

Tanggungjawab seorang Juruwang