Seperti dijanjikan... inilah kisah Sa'labah

Hari ini cuti sambutan Maulidur Rasul. Sempatlah saya mengotakan janji di entri yang lalu. Saya terpanggil untuk menulis kerana sudah dua kali saya mendengar kisah ini. Kali pertama di masjid Muaz b Jabal dan sekali lagi dengan lebih lengkap di kelas tempoh hari.

Surah at-Taubah, ayat 75 dan 76 bermaksud: 

dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata; "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh". Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). 

Kisahnya... Sa'labah meminta Rasulullah s.a.w mendoakan dia menjadi kaya supaya dia boleh menjadi seorang dermawan. Sebelum dia kaya, setiap waktu solat, dia berada di masjid untuk berjemaah. Hari berganti hari, kambing yang Sa'labah ternak semakin bertambah. Kesibukan menguruskan kambing menyebabkan Sa'labah semakin jarang menghadiri solat jemaah di masjid.

Tidak berapa lama selepas itu, turun ayat tentang perintah zakat. Rasulullah s.a.w menghantar orang untuk meminta zakat kepada Sa'labah. Sebaik menerangkan hajat kedatangan mereka kepada Sa'labah, dia berkata, "Ini bukan zakat, ini jizyah" dan dia meminta untuk berfikir dahulu sebelum menyerahkan zakat. Sa'labah juga meminta utusan Rasulullah s.a.w meminta dari orang lain terlebih dahulu. 

Utusan Rasulullah s.a.w menemui seorang penternak unta yang bukan sahaja memberi zakat, malah menyerahkan urusan pemilihan unta untuk dizakatkan kepada utusan Baginda.

Utusan Rasulullah s.a.w kembali kepada Sa'labah dan dia enggan mengeluarkan zakat.

Di hari yang lain, sepupu Sa'labah telah berada di dalam majlis ilmu Rasulullah s.a.w dan Baginda menerangkan tentang zakat. Mendengar hal itu, sepupu Sa'labah berjumpa Sa'labah dan memarahi Sa'labah atas keengganannya. 

Sa'labah berasa malu lalu berjumpa Rasulullah s.a.w untuk diterima zakatnya. Walau bagaimanapun, zakatnya tidak diterima. Di zaman khalifah Saidina Abu Bakar, Sa'labah meminta zakatnya diterima tetapi jawab Saidina Abu Bakar, jika Rasulullah s.a.w sendiri tidak menerima zakat, kenapa pula beliau perlu menerima zakat Sa'labah? Ketika khalifah Umar memimpin, Sa'labah masih memohon agar zakatnya diterima. Jawapannya tetap sama sebagaimana Saidina Abu Bakar. 

Akhirnya, harta Sa'labah musnah begitu sahaja..

Comments

Popular posts from this blog

untuk yeop yang benak benor

Loghat teman, siri 2

al fatihah