Ramadhan dengan Tok Rose
Setiap kali Ramadhan, pasti teman terkenangkan tok teman, bapak kepada emak teman. Selepas teman dilahirkan, teman cuma ada Tok dan Opah sebelah emak je. Tok dan Opah sebelah abah tidak sempat melihat kewujudan teman.
Teman masih ingat, ketika kali pertama cuba berpuasa penuh. Darjah Tiga. Waktu itu, abah dalam proses berhenti dari Airforce Service. Berkursus. Teman dan adik-adik serta emak sudah pulang ke kampung, tinggal di rumah yang abah dah sediakan di Pekan Padang Rengas.
Tok sering menjenguk kami. Kerap juga kami pulang ke kampung Tok. Tak jauh pun dari Pekan, cuma masuk ke dalam. Waktu itu, laluan masuk kampung ada kebun getah kiri dan kanan. Kini, sudah ada Kolej Vokasional Teknik dan taman-taman perumahan.
Ada beberapa hari dalam bulan Ramadhan, kami bermalam di rumah Tok dan Opah.
Tok sangat baik orangnya, very humble dan kelakar tetapi bermotivasi dan memberi motivasi serta kreatif orangnya. In sha Allah, akan saya ceritakan lain kali.
Semasa berpuasa di rumah Tok, Tok sering berbasikal ke Pekan. Tok pergi ke perpustakaan awam di Balai Penghulu pekan Padang Rengas. Meminjamkan buku-buku kisah nabi untuk teman baca.
Apabila Tok balik, Tok akan panggil teman, "Julie, mari, ni buku cerita Tok pinjamkan". Seronok bukan kepalang apabila Tok bawa buku cerita. Ralit teman membaca buku-buku cerita yang Tok bawa balik, sehingga habis waktu berpuasa, teman duduk di tingkat atas rumah seorang diri. Duduk, meniarap, baring sambil membaca buku-buku yang Tok serahkan. Semuanya kisah nabi. Satu hari sudah habis buku dibaca.
Mula-mula bilangan buku ceritanya tidaklah banyak. Apabila teman maklumkan yang buku-buku yang dibaca sudah habis dibaca, Tok terkejut, "Dah habis?". Teman jawab, "Udah, Tok"
Keesokan paginya, apabila teman nampak Tok mencapai basikal tuanya. Terus teman bertanya, "Tok, tok nak pergi pekan ke?"
Tok jawab, "Ya"
Lantas teman terus meminta, "Tok, bawa balik buku lagi, ya. Bawak banyak-banyak"
Sambil membetulkan kedudukannya di seat basikal, Tok pun membalas, "Ya"
Seronoknya apabila Tok bawa pulang lebih banyak buku-buku kisah nabi.
Sewaktu teman baru mula membaca di ruang tamu tingkat atas, terdengar Tok memberitahu mak dan Opah, "Mintak pinjam lebih dengan Pak Jaya, kalau ikutkan dah lebih had"
Begitulah Tok teman memanjakan teman dengan buku dan ilmu. Sedar-sedar, sifat suka membaca telah dipupuknya. Dan tabiat suka mencari ketenangan dan melepak di perpustakaan menjadi sebahagian diari hidup teman.
Semoga roh Tok Rose@ Mohd Rose bin Yaacob tenang di sana. Sayang Tok...
***Tok Jaya ialah BFF Tok Rose
Comments