Cerita TIDUR (1)
Lama teman tak berkunjung di blog ini, apa lagi menulis catatan. Walau teman tahu tiada yang membaca. Asal tujuan teman mewujudkan blog ini pun bukan untuk tatapan orang. Ada yang sudi membaca dan mengambil manfaat, Alhamdulillah. Bukan juga meraih sebarang keuntungan. Yang lebih utama untuk teman ialah luahan rasa yang tidak mungkin teman ungkapkan kepada mana-mana hambaNya yang lain.
Bicara teman hari ini ialah tentang TIDUR. Dah lama juga ia bermain di minda teman. Mengimbau beberapa insiden dalam hidup teman dan pemerhatian teman:
Cerita 1: Tidur dalam kelas
Biasa sahaja kita mendengar guru yang memarahi pelajar yang tidur di dalam kelas. Di dalam YouTube teman ada tengok macam mana seorang pensyarah memerli dan 'mempermainkan' pelajarnya yang tidur sewaktu beliau mengajar. Situasi di kelas sebuah universiti luar negara itu mengundang kelucuan kepada pelajar-pelajar lain.
Teman juga pernah mengajar. Sewaktu menjadi guru matematik di sebuah sekolah agama, seorang pelajar perempuan selalu tidur. Teman biarkan sahaja. Selesai teman menerangkan tajuk baharu yang dipelajari, teman kejutkan dia. Minta dia selesaikan soalan di papan hitam. Soalan berkaitan tajuk baharu yang tidak didengarinya, lantaran tidurnya yang nyenyak. Anak muridku ini menyelesaikan dengan menulis setiap langkah. Alhamdulillah. Tepat jawapannya. Tiga kali teman berbuat begitu kepadanya. Tiga kali juga dia menjawab dengan tepat. Sejak dari itu, teman biarkan sahaja dia tidur di dalam kelas teman. Walaupun di kelas, sekolah biasa, fenomena murid tidur di dalam kelas dianggap lari dari norma kebiasaan, diberi tanggapan negatif kepada guru yang mengendalikan kelas, dan pelajar yang terlibat itu sendiri; untukku, tidak ada apa yang salah. Selagi ilmu yang nak disampaikan diterima oleh pelajar tersebut - Tidurlah anak, jika itu yang membahagiakanmu asal sahaja kamu tidak ketinggalan dengan ilmu yang Cikgu sampaikan.
Itulah pandangan teman sebagai seorang Guru yang ternyata tidak selari dengan rakan setugas yang lain. Dan kerana itu jugalah, teman berasakan diri teman tidak sesuai menyandang jawatan Guru Sekolah.
Cerita 2: Tidur di perpustakaan
Insya Allah, akan teman sambung lain kali. Berhenti dulu, hampir zohor, Ramadan ke 10 1443.
Comments